KITA ADALAH PENYAMBUNG WARISAN
Nikmat Kemerdekaan
Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah SWT yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti bejuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai dikalangan bangsa atau Negara yang masih belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan. Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama dan tunduk kepada Allah SWT dengan penuh ketenangan.
Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. Justeru itu, sebagai umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.
Penjahan Fizikal VS Penjahan Mental
Era penjajahan fizikal terhadap bangsa dan Negara ini sudah berakhir lebih 58 tahun yang lalu. Atau lebih tepatnya ketika Kerajaan British mengiktiraf kedaulatan Negara ini pada tanggal 31 Ogos 1957 yang lalu. Persoalannya, adakah kita benar-benar sudah merdeka dalam segala aspek. Generasi muda kita kini semakin parah dan terdedah dengan ancaman penjajahan secara neo-kolonialisme. Generasi kini tidak lagi dijajah secara politik atau ketenteraan, sebaliknya minda, akal, cara berfikir, cara berpakaian, cara bersosial serta kefahaman mereka terhadap politik juga sudah jauh berubah.
Sejujurnya, penulis beranggapan bahawa kita hanya bebas secara fizikal sahaja tetapi akal, minda serta pola pemikiran kita masih lagi terbelenggu atau terjajah dengan ideologi-ideologi dan falsafah yang bertentangan dengan erti kemanusiaan. Pelbagai usaha dilakukan oleh pelbagai golongan untuk menebarkan benih-benih ideologi yang menyimpang dari norma kehidupan masyarakat Nusantara. Kefahaman sekelurisme dan liberalisme semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja kita. Budaya Hedonisme pula sudah sebati serta tidak dapat dipisahkan lagi dari hidupan harian mereka. Gerakan-gerakan feminisme, homoseksual dan LGBT pula semakin garang memperjuangkan idelogi mereka. Manakala gelaja rasuah, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa pula dilihat menjadi rutin harian dalam masyarakat kita.
Islam adalah solusi terbaik bagi menangani masalah keruntuhan moral dan akhlak ini Hal ini kerana, kedatangan Islam ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah SWT, membebaskan diri daripada perhambaan terhadapat pangkat, harta mahupun kuasa dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh.
Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.
Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam telah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.
Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
“Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak”
Nikmat Kemerdekaan adalah satu warisan
Nikmat kemerdekaan ini adalah suatu perkara yang kita warisi dari perjuangan generasi terdahulu. Generasi awal berjuang sehingga ke titisan darah terakhir demi generasi kini yang mereka tidak pernah jumpa atau tahu akan namanya. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggung jawab kepada kita semua untuk mewariskan pula kemerdekaan ini kepada generasi akan datang. Kitalah yang akan menentukan samada mereka akan hidup bebas merdeka atau merempat dan menjadi pengemis di atas bumi bertuah ini.
Cuba kita kenang kembali bagaimana kehidupan generasi terdahulu ketika Negara berada dalam era penjajahan. Kerajaan Melayu Melaka hancur pada tahun 1511 dan kita hanya mengecap manisnya merdeka pada tahun 1957, iaitu selepas 446 tahun dijajah. Saya mengandaikan satu generasi hidup dalam anggaran 60 hingga ke 65 tahun. Oleh itu, terdapat sekurang-kurangnya 7 atau 8 generasi yang ketika hidupnya Negara sedang dijajah dan matinya juga ketika Negara masih terjajah. Mereka langsung tidak pernah merasa nikmat keamanan, atau mengecap kebahagian bahkan tidak dapat melaksanakan kewajipan beragama secara terang-terangan. Adakah ini yang ingin kita wariskan kepada generasi akan datang?
Oleh yang demikian, tugas untuk memastikan keamanan, kemakmuran, kestabilan ekonomi dan politik serta semangat integrasi antara kaum kini menjadi tanggungjawab serta amanah yang maha besar ke atas kita semua supaya Negara ini dapat diwariskan kepada genarasi akan datang dalam keadaan yang jauh lebih baik keadaanya dari apa yang kita kecapi. Jangan jadikan kebahagian yang kita miliki kini sebagai barang gadaian atau sebagai batu loncatan terhadap kepentingan sendiri sehingga menggadaikan kelangsungan hidup generasi akan datang.
Penutup
Justeru itu, kita semua hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kemanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah SWT dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang perlu kita wariskan kepada generasi akan datang. Semoga Allah SWT senantiasa merahmati dan mengasihi Negara ini.
Abdul Razak Bin Mohamad Rawi