ANCAMAN PIHAK KETIGA DALAM PERKAHWINAN.
Kehidupan berumah tangga adalah suatu kehidupan yang sangat kompleks. Hal ini kerana, perkahwinan adalah suatu muamalah yang bukan hanya melibatkan hubungan antara suami dan isteri semata-mata. Bahkan ianya juga adalah subset kepada hubungan dengan keluarga mertua, adik beradik, ipar duai, sahabat handai, rakan sepejabat dan sebagainya. Kesemua kumpulan set ini mempunyai fungsinya tersendiri dalam mengharmonikan kehidupan rumah tangga seseorang individu. Mertua dengan perananannya sebagai mertua, sahabat dengan peranannya sebagai sahabat, dan begitulah seterusnya. Ancaman pihak ketiga dalam rumah tangga akan dapat ditangani jika kesemua set kumpulan manusia ini memainkan peranan masing-masing tanpa cuba untuk mengambil alih peranan pihak lain.
Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda : Sesiapa yang menipu dan merosakkan hubungan seorang hamba sahaya dari tuannya, maka ia bukanlah dari golongan kami, dan siapa yang merosakkan hubungan seorang wanita dari suaminya, maka ia bukanlah dari golongan kami’”. Hadis shahih diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bazzar, Ibn Hibban dan An-Nasai.
Hadis ini telah memberi kecaman keras terhadap dua perbuatan iaitu, Mengganggu hubungan seorang hamba atau pekerja, dengan majikannya sehingga hubungan tersebut rosak dan juga mengganggu atau memisahkan seorang wanita yang berstatus isteri bagi seorang lelaki, sehingga hubungan di antara mereka menjadi rosak, lalu si isteri meminta cerai dari suaminya atau si suami menceraikan isterinya.
Para ulama’ bersepakat bahawa hukum mengganggu dan merosak hubungan sebagaimana dimaksud dalam hadis nabi di atas adalah haram (lihat al-mausu’ah al-fiqhiyyah, pada bab takhbib). Bahkan Imam Al-Haitami mengkategorikan perbuatan menggangu keharmonian rumah tangga pasangan lain sebagai dosa besar. Dalam kitabnya Al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair beliau menyebutkan bahwa dosa besar iaitu, memisahkan seorang wanita agar terpisah dari suaminya dan merosak seorang suami agar terpisah dari isterinya.
Imam Ibnu Qoyyim Rahimahullah pula mengatakan bahawa perbuatan mengganggu atau merosakan rumah tangga orang lain adalah suatu dosa besar. Beliau menegaskan bahawa:-
“…syari’at melarang meminang pinangan saudaranya, maka begitulah juga halnya dengan orang yang merosak hamba sahaya wanitanya atau hamba sahaya laki-lakinya, serta berusaha memisahkan di antara keduanya, dengan kata lain berniat ingin menikahkan seorang wanita yang secara sah masih menjadi isteri orang lain. Perbuatan ini termasuk perbuatan keji dan ianya tidak akan teluput hanya dengan taubat. Kerana taubat, meskipun telah menggugurkan hak Allah, namun hak hamba masih tetap ada…”
Acap kali kita mendengar berita berkaitan pihak ketiga yang memusnahkan sesuatu ikatan perkahwinan. Dengan kehidupan yang serba moden, dipermudahkan lagi dengan teknologi komunikasi yang meluas, maka campur tangan pihak ketiga dalam rumah tangga seseorang bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita pada hari ini. Ada diantaranya yang sememangnya berpunca dari pihak ketiga. Contohnya melibatkan perbuatan sihir, kerana dendam, kerana cemburu dan pelbagai alasan yang gagal dicerna oleh akal yang waras.
Ada juga keadaan dimana pihak ketiga ini diberi ruang untuk menjadi pemerhati serta penasihat tidak bertauliah dari suami atau isteri itu sendiri. Jika sekiranya mana-mana pasangan menghadapi masalah dalam kehidupan berumah tangga, adalah dinasihatkan supaya tidak menjadikan masalah tersebut sebagai modal untuk meraih simpati pihak ketiga. Apatah lagi jika pihak ketiga tersebut bukannya dari kaum keluarga serta berlawanan jantina. Ianya akan membuka ruang fitnah serta terdedah kepada masalah yang lebih besar.
Masalah yang berlaku di dalam keluarga (antara suami dan isteri) hendaklah diselesaikan secara matang antara suami dan isteri sahaja. Jika tidak ada penyelesaian, dapatkan nasihat dari kaum keluarga yang terdekat seperti ayah atau ibu. Pasangan yang mempunyai masalah juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling atau nasihat dari pihak yang selayaknya.
Perbuatan mengganggu rumah tangga orang lain ini adalah suatu kesalahan jenayah samada di Mahkamah Sivil atau pun Mahkamah Syariah. Seksyen 498 Kanun Keseksaan (Akta 574) memperuntukkan hukuman penjara selama tidak lebih dari dua tahun dan/atau denda bagi mana-mana individu yang didapati menggoda, memikat, menahan atau membawa pergi (melarikan) isteri orang dengan niat untuk melakukan persetubuhan.
Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] pula memperuntukkan beberapa jenis kesalahan berkaitan dengan kacau ganggu pihak ketiga dalam sesebuah perkahwinan. Seksyen 36 akta tersebut memperuntukkan kesalahan bagi memujuk lari perempuan yang bersuami yang mana jika sabit boleh disenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Makamah juga boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali ke pangkuan suamninya.
Seksyen 37 pula menyentuh tentang kesalahan berkaitan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami-isteri. Jika disabitkan maka individu tersebut boleh didenda tidak melebihi 2 ribu ringgit atau dipenjarakan tidak lebih setahun ataupun kedua-duanya sekali dan mahkamah hendaklah memerintahkansupaya passangan tersebut supaya kembali hidup sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Seksyen 38 pula berkaitan kesalahan menghasut suami atau issteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipannya dan tanggung jawabnya sebagai suami atau isteri. Seksyen ini memperuntukkan denda apabila sabit sebanyak tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak me;ebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala Seksyen 39 pula berkaitan dengan kesalahan memujuk lari perempuan (bujang) daripada jagaanya ibu bapanya atau penjaganya. Jika sabit maka individu tersebut boleh didenda tidak melebihi tida ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahu atau kedua-duanya ssekali.
Memandangkan peruntukan di atas adalah berkaitan dengan kesalahan jenayah maka tindakan pendakwaan hanya akan dilakukan oleh pihak pendakwa jika terdapat laporan yang dibuat. Oleh yang demikian, mana-mana pihak samada suami atau isteri yang tersepit dalam situasi ini hendaklah berani untuk mengambil langkah awal dengan membuat laporan supaya pihak pendakwa boleh memulakan siasatan.
Penulis menyeru kepada pembaca semua untuk sama-sama merenung sebuah hadis dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dimana baginda bersabda: “Sesungguhnya Iblis menempatkan singgasananya di atas air, lalu menyebar anak buahnya ke berbagai penjuru, yang paling dekat dengan sang Iblis adalah yang kemampuan fitnahnya paling hebat di antara mereka, salah seorang dari anak buah itu datang kepadanya dan melapor bahawa dirinya telah berbuat begini dan begitu, maka sang Iblis berkata: ‘kamu belum berbuat sesuatu’, lalu seorang anak buah lainnya datang dan melapor bahawa dia telah berbuat begini dan begitu sehingga mampu memisahkan antara seorang suami dari isterinya, maka sang Iblis menjadikan anak buah ini sebagai orang yang dekat dengannya, dan Iblis berkata: ‘tindakanmu sangat bagus sekali’, lalu memeluknya dengan erat”. {H.R. Muslim (5032)}.
ABDUL RAZAK BIN MOHAMAD RAWI