CERAI DAN RUJUK BUKANNYA PERKARA MAIN-MAIN.

 

Dua tiga minggu ini saya sangat teruju apabila aktiviti hujung minggu dipenuhi dengan menghadiri walimatul urus rakan dan taulan. Bahkan ada di kalangan pasangan tersebut yang mendirikan rumah tangga dalam lingkungan usia yang masih muda. Saya mendoakan semoga mereka berbahagi hingga ke Jannah.

 

Hidup berpasangan adalah fitrah semula jadi manusia dan setiap sesuatu itu ada pasangannya seperti malam dan siang, pasang dan surut dan sebagainya. Begitulah juga halnya dengan manusia. Terdapat hikmah yang sangat besar diberikan oleh Allah SWT melalui pensyariatan perkahwinan. Selain dari  ketenangan, kasih sayang dan belas kasihan serta melahirkan zuriat yang soleh, ianya juga adalah satu ibadah serta sunnah Rasulullah SAW. Maka apabila matlamat ini gagal dicapai, maka Islam memberikan ruang kepada pasangan untuk keluar dari rumah tangga tersebut dengan penuh penghormatan melalui perceraian.

 

Dari segi bahasa perceraian iaitu membuka ikatan, melepaskan ikatan, pembebasan dan seumpamanya. Dari segi syarak pula, perceraian membawa maksud membuka ikatan perkahwinan dengan melafazkan perkataan talaq atau cerai atau seumpamanya. Lafaz talaq atau perceraian terbahagi kepada 2 jenis iaitu, Lafaz talaq secara jelas (sareh) serta lafaz talaq secara sindiran (kinayah).

 

Lafaz talaq secara nyata (soreh)

 

Lafaz talaq secara nyata (soreh) iaitu lafaz yang menunjukkan maksud perceraian dengan terang dan jelas dengan menggunakan sighah talaq dan tidak memerlukan niat. Contohnya:”Aku ceraikan engkau dengan talaq satu atau dua atau tiga.”

 

Di dalam kes Zaiton Bin Hamim lwn Abd. Razak Bin Kassim JH (1420)H JLD. XIII BHG 1, Yang Arif Hakim Bicara telah menyatakan bahawa lafaz talaq yang nyata pula berlaku melalui tiga jenis perkataan iaitu firaq (cerai), saraah (lepas) dan juga talaq.

 

Doktor Muhammad Aqilah di dalam Kitabnya Nizhomu usrati fil islam menjelaskan jumhur fuqaha sepakat bahawa lafaz cerai melalui sighah “talaq” adalah lafaz yang jelas serta tidak memerlukan niat.

 

Walau bagaimanapun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha berkaitan dengan kalimah firaq (cerai) dan juga saraah (lepas). Imam Asy-Syafie rahimahullah dan juga Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah sepakat mengatakan bahawa ianya juga lafaz yang jelas serta tidak memerlukan niat kerana kedua-dua kalimah tersebut dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 229 dan juga Surah Al-Ahzab ayat 49.

 

Terdapat juga keadaan dimana si suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya tetapi lafaz tersebut terkeluar akibat daripada perasaan marah, tekanan perasaan serta provokasi melampau dari Si Isteri. Walau bagimanapun, ianya tidak akan dikiranya kerana lafaz talaq yang diguna pakai adalah lafaz yang soreh.

 

Perkara ini telah dijelaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam kes Zainuddin Kamaruzzaman lwn Khairuzita Khairuddin, [2006] 1 CLJ (Sya), “…Jikapun perayu hanya berniat untuk ‘warning’ sahaja ketika melafazkan lafaz pertama, niat tersebut tidak bermakna apa-apa. Ini kerana, lafaz cerai pada lafaz pertama adalah lafaz soreh, dan kerana itu, sama ada niat untuk mencerai wujud ataupun tidak, ia tidak memberi kesan kepada lafaz…”

 

Disamping itu, Rasulullah SAW juga pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud :-“…Tiga perkara yang dibuat bersungguh-sungguh ia akan menjadi bersungguh-sungguh, dan jika dibuat main-main pun akan menjadi bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai dan ruju’…” (Riwayat: Abu Daud & Ibnu Majah)

 

Lafaz talaq secara sindiran (kinayah)

 

Lafaz talaq secara sindiran (kinayah) pula ialah lafaz yang boleh ditafsirkan sebagai cerai atau selain cerai.  Oleh yang demikian, ianya mestilah disertai dengan niat untuk bercerai dari si suami. Contohnya:”Hubungan kita sampai disini sahaja” atau “Saya tak hendak kamu lagi.”

 

Bagi memutuskan perkara ini, pihak-pihak sama ada si suami mahupun si isteri perlulah menfailkan suatu permohonan pengesahan lafaz cerai berdasarkan perunrukan Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (negeri Selangor) 2003 dan pihak mahkamah akan menilai samada lafaq tersebut dikategorikan sebagai lafaz talaq ataupun tidak.

 

Antara elemen yang diperlukan di dalam situasi begini ialah niat untuk menceraikan si isteri daripada si suami. Memandangkan ianya adalah lafaz yang beralas/berlapik maka niat daripada suami adalah sangat penting untuk dinilai sebelum Mahkamah membuat keputusan.

 

Rujuk

 

Syeikh Muhammad Makhyuddin Abdul Hamid menjelaskan di dalam Kitabnya, Ahwalul Sakhsiah fil Syariatil Islamiah bahawa rujuk dari segi syarak bermaksud meneruskan hubungan suami isteri dan menghilangkan sebab yang menghalangnya iaitu talaq dan terdapat dua syarat bagi rujuk iaitu dilakukan bagi talaq raj’ie dan juga dilakukan di dalam tempoh iddah si isteri.

 

Terdapat pandangan daripada sesetengah ulama’ yang menyatakan bahawa rujuk tidak memerlukan kerelaan pihak isteri, pengetahuan serta kesaksian tetapi Imam Asy-Syafie rahimahullah di dalam Kitabnya, Al-Umm (Kitab Induk), Jilid Ke-8 berpendapat sebaliknya.

Imam Asy-Syafie rahimahullah memberi saranan supaya diadakan dua orang saksi  bagi proses rujuk supaya tidak berlaku pertelingkahan mengenainya. Beliau juga menambah bahawa rujuk hanya berlaku secara lisan sahaja. Tidak ada rujuk melalui perbuatan (persetubuhan/pergaulan) antara suami dan isteri. Tidak dikira berlakunya rujuk selagi si suami tidak menyatakan hasratnya untuk merujuk kembali isterinya sebagaimana tidak berlakunya nikah dan talaq sehinggalah si suami melafazkan ijab bagi nikah serta lafaz talaq.

 

Pandangan Imam Asy-Syafie ini adalah selari dengan peruntukan Seksyen 52 (9) dan (10) Enakmen Keluarga Islam (Negeri selangor) 2003 yang menggunakan terma MELAFAZKAN di dalam kedua-dua peruntukan tersebut. Hal ini jelas menyatakan bahawa, Undang-undang tidak mengiktiraf wujudnya rujuk melalui perbuatan sebaliknya ianya haruslah DILAFAZKAN ataupun dilakukan secara LISAN kepada si isteri.

 

Saya menyarankan kepada pasangan suami – isteri khususnya pihak suami supaya mendalami ilmu rumah tangga dan jika berlaku sesuatu perbalahan, selesaikanlah ia dengan penuh hikmah dan bijaksana. Elakkan pertengkaran dan bertikan lidah dengan si isteri kerana dikhuatiri lidah akan tergelincir mengeluarkan kalimah talaq kerana syaitan akan senantiasi berusaha untuk meruntuhkan mahligai rumah tangga anak Adam. Peliharalah lidah daripada mudah melafazkan kata-kata cerai kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

 

Ada juga pihak yang sangat sinikal berkaitan dengan perbincangan tentang perceraian. Mereka mengatakan bahawa untuk apa bincang pasal cerai, kahwin pun belum. Ada juga yang mengatakan “ ini kursus kahwin ke, kursus cerai”. Peribahasa melayu ada mengingatkan kepada kita supaya menyediakan payung sebelum turunnya hujan. Oleh itu, penuhilah dada dengan ilmu rumah tangga agar bahtera yang dibina kekal abadi selamanya serta mendapat keredhoan daripada Allah SWT.

 

ABDUL RAZAK BIN MOHAMAD RAWI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *